BAGAIMANA CARA KHUSYUK DI DALAM SOLAT?
Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman
Kalau kita mahu khusyuk, kita kena faham apa maksud khusyuk. Jangan kita mahu sesuatu yang kita sendiri tidak faham. Sebab itu, sehingga sekarang kita tidak dapat khusyuk.
Apa maksud khusyuk?
Perkataan khusyuk dari segi bahasa ialah tunduk dan patuh. Tunduk kepada apa? Tunduk kepada Allah sepanjang hidup kita. Bukan tunduk ketika solat 10 minit sahaja.
Jadi maksud khusyuk ialah tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah sepanjang hidup kita.
Apabila kita sentiasa ikut perintah Allah sepanjang hidup kita (daripada pagi hingga malam), agak-agak solat kita khusyuk atau tidak? Khusyuk.
Maka, itulah maksud khusyuk.
Kalau di luar solat, 20 jam kita lagha (melakukan perbuatan sia-sia) atau lupa kepada Allah, tiba-tiba kita mahu paksa hati kita khusyuk kepada Allah dalam masa 10 minit, mungkin atau tidak? Mustahil!
Sebenarnya, maksud khusyuk sudah hilang daripada diri kita. Jadi, bagaimana cara mahu khusyuk?
Caranya ialah di luar solat, kita perlu selalu ingat kepada Allah. Baca al-Quran dan sentiasa berzikir kepada Allah. Jangan buat maksiat. Kalau buat maksiat, terus bertaubat.
Sebab itulah Nabi boleh khusyuk dan boleh solat lama, kenapa? Tengoklah kehidupan Nabi daripada pagi sehingga malam. Semuanya zikir.
Aisyah kata Nabi sentiasa ingat kepada Allah dalam semua keadaanya, walaupun ketika Nabi berhadas besar.
Keadaan Nabi di luar solat, membuatkan Nabi boleh khusyuk dan berdiri lama di dalam solat.
Kalau kita dalam solat, susah mahu ingat kepada Allah (contohnya ketika solat, ruku’ dan sujud), agak-agak ketika di luar solat, mudah atau tidak kita ingat kepada Allah?
Lagi susah.
Contoh, kita tengah memandu kereta, boleh atau tidak, ingat kepada Allah? Boleh, tapi susah.
Kadang-kadang al-Quran di bibir kita (maksudnya selalu baca), tetapi kita tidak faham, sebenarnya kita belum khusyuk.
Jadi, bukan setakat baca atau zikir sahaja. Tapi, kena ada kemahiran.
Cuba ‘check’ kehidupan kita dari pagi hingga malam. Maksudnya di luar solat. Jangan ‘check’ di dalam solat. Ketika di luar solat, banyak atau tidak kita ingat kepada Allah?
Tengok langit, kita ingat kepada Allah. Tengok tumbuhan ingat kepada Allah. Tengok muka suami ingat kepada Allah. Bila cuaca panas sahaja, ingat kuasa Allah. Bila hujan sahaja, ingat kuasa Allah dan baca doa.
Jadi keaadaan kita di luar solat menentukan solat kita khusyuk ataupun tidak.
Sebab itu Allah sebut di dalam Surah Az-Zukhruf 43:36,
وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَٰنًا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌ
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
Maksud ayat ini ialah siapa yang tidak ikut perintah Allah, Allah akan hantar syaitan. Allah sebut atau tidak, ikut perintah Allah itu berapa lama? Tidak.
Maksudnya, lupa sahaja kepada Allah, Allah akan hantar syaitan dan menjadi kawan dia.
Okey, kalau kita lupa kepada Allah, penasihat kita yang paling rapat dan yang paling baik ialah syaitan. Agak agak masa itu, kita buat atau tidak perkara yang baik? Tidak!
Jadi bila lupa Allah sahaja, tidak mungkin kita akan buat perkara yang baik.
Ada orang kata, “ustaz! Saya okey. Tak ada gangguan pun.” Maka itulah bisikan syaitan.
Syaitan ini, dia tidak akan suruh kita buat perkara jahat secara ‘direct.’ Tetapi dia akan hiaskan perbuatan yang tidak baik kelihatan baik.
Saya tanya, “bersembang kosong – baik atau tidak?” Tidak baik. Kenapa tidak baik? Tidak ada faedah.
Setiap perkara yang tidak ada faedah adalah sia sia.
Tapi masa kita bersembang kosong, kita rasa atau tidak yang kita sedang melakukan perbuatan yang salah dan rugi? Tidak.
Itulah bisikan syaitan.
#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein