BEZA ANTARA أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ DENGAN أعُوذُ بِالله

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Beza Antara أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ Dengan أعُوذُ بِالله
Beza Antara أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ Dengan أعُوذُ بِالله

Bila kita biasa membaca أعُوذُ بِالله ? Ketika mahu membaca al-Quran. Okey, dalam ayat yang pertama Surah an-Naas, kita jumpa pula dengan أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ.

Apa beza di antara kedua-dua ayat ini?

Secara umumnya seperti tidak ada perbezaan. Sebab الله adalah رَبِّ ٱلنَّاسِ dan رَبِّ ٱلنَّاسِ adalah الله. Tetapi sebenarnya ada beza.

Apa bezanya?

Ayat أعُوذُ بِالله mahu beritahu bahawa dengan siapa kamu berlindung. Iaitu dengan Allah. Apa makna Allah? Perkataan الله berasal daripada perkataan إِلَٰهِ. Apa makna إِلَٰهِ? Tuhan yang di sembah.

Jadi Allah dalam ayat أعُوذُ بِالله, Allah mahu beritahu bahawa aku berlindung dengan Tuhan yang disembah.

Kalau saya buat soalan, “kepada siapa kita kena berlindung? Jawapannya Allah.” Tapi bila saya ubah soalan, “kenapa kena berlindung dengan Allah?”

Jawapannya tidak ada di dalam ayat أعُوذُ بِالله. Sebab ayat ini hanya mahu beritahu dengan siapa kita patut berlindung.

Berbeza dengan ayat أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ.

Saya tanya soalan yang sama pada ayat ini pula, “kepada siapa kita kena berlindung? Jawapannya رَبِّ ٱلنَّاسِ.

Kemudian, saya tanya pula soalan yang kedua, “kenapa kena berlindung dengan رَبِّ ٱلنَّاسِ ? Jawapannya ada di dalam ayat ini iaitu sebab Dia mencipta kamu.

Jadi, ayat أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ, Allah mahu beritahu dua perkara;

Pertama: Kepada siapa patut kita berlindung? Kepada Allah – رَبِّ ٱلنَّاسِ. Kedua: Kenapa perlu berlindung dengan Dia? Sebab Dialah yang mencipta kita.

Sebenarnya kita mahu berlindung daripada apa? Kejahatan. Kejahatan siapa? Kejahatan manusia dan jin. Ada lagi kejahatan selain manusia dan jin? Ada.

Tetapi yang paling besar ialah kejahatan manusia dan jin. Kalau betul mahu berlindung daripada kejahatan manusia dan jin, maka tempat yang patut kita berlindung kepada siapa?

Iaitu kepada yang mencipta manusia. Kalau Dia yang mencipta manusia, Dia pandai atau tidak menjaga manusia? Mestilah pandai.

Sebab itulah kalau kita berlindung dengan manusia – pertama, kita boleh syirik. Akidah kita rosak. Kedua, kita akan menjadi semakin lemah.

Sebab kita makhluk, memang sudah lemah. Bergantung pula dengan manusia, lagi lemah. Kalau kita lemah, tetapi mahu jadi kuat, kita kena bergantung pada yang kuat iaitu Allah – رَبِّ ٱلنَّاسِ.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein