PEPERANGAN YANG LEBIH DAHSYAT DARIPADA PEPERANGAN SENJATA

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Peperangan Yang Lebih Dahsyat Daripada Peperangan Senjata
Peperangan Yang Lebih Dahsyat Daripada Peperangan Senjata

Surah al-Ma’aarij adalah Surah Makkiyyah. Biasanya Surah Makkiyyah bercerita tentang akidah seperti mentauhidkan Allah, beriman dengan Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam dan juga yakin dan percaya pada Hari Kiamat ataupun Hari Pembalasan.

Malah, Nabi sendiri telah mengambil masa selama 13 tahun berdakwah di Makkah al-Mukarramah untuk memperbetulkan akidah masyarakat Arab Jahiliah yang telah rosak.

Secara tidak langsung, Nabi mengajar kita cara nak betulkan masyarakat bukan dengan ekonomi, jalan raya, rumah, jambatan, elektrik ataupun air terlebih dahulu, tetapi betulkan perkara yang lebih utama daripada semua itu iaitu akidah.

Sebab bila akidah kita tidak betul, semua nikmat yang kita dapat akan menjadi musibah kerana hubungan kita semakin jauh daripada Allah subhanahu wa ta’ala.
Sebab itu Allah kata di dalam Surah al-‘Alaq ayat 6, كَلَّآ إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَيَطْغَىٰٓ – ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya).

Ayat ini beritahu kepada kita bahawa akan ada manusia yang menjadi sombong dan melampau sehingga melawan Tuhan.

Siapa mereka itu? أَن رَّءَاهُ ٱسْتَغْنَىٰٓ – dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

Manusia yang merasa dirinya kaya, ada harta, kedudukan dan juga pangkat. Mereka terus lupa diri sebab tidak ada akidah.

Kaya atau miskin bukan masalah, yang penting adalah akidah.

Sebab itulah Nabi mengambil masa lebih kurang 13 tahun untuk betulkan perkara yang paling asas ini iaitu akidah.

Maka oleh sebab itu, perjuangan membetulkan akidah ini seperti sebuah peperangan. Kalau kita pergi berperang, apa yang kita boleh bayangkan?

Kita membayangkan Nabi dan juga para sahabat berperang dengan senjata, ada yang terbunuh, ada yang tercedera sehinggalah akhirnya peperangan itu berakhir.

Tapi, ada satu peperangan yang tidak akan berhenti ataupun tanda noktah sebab manusia sentiasa mengikut hawa nafsu yang menyuruh kepada kejahatan dan manusia sentiasa ditipu oleh syaitan 24 jam.

Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam mengambail masa 23 tahun bagi berjuang dalam peperangan ini. Malah, peperangan ini lebih bahaya daripada peperangan dengan senjata. Inilah peperangan memperbetulkan akidah manusia.

Peperangan ini tidak menggunakan senjata. Jadi, tidak akan ada manusia yang cedera, mati ataupun bangunan yang runtuh.

Senjatanya hanyalah al-Quran dan juga sunnah-sunnah Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam.

Namun, kekalahan dalam peperanan ini sangat dahsyat iaitu menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka. Hidup di dunia badan sihat, harta banyak dan umur pula panjang, tapi akhirnya masuk ke dalam neraka.

Sebab itulah Surah Makkiyyah banyak menyentuh tentang isu akidah. Jadi, fungsi Surah Makkiyyah adalah untuk merawat penyakit-penyakit akidah dan juga penyakit hati manusia sedikit demi sedikit.

Jadi, secara umumnya Surah al-Ma’aarij mahu merawat penyakit hati dan akidah manusia yang telah jauh terpesong daripada kebenaran.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahalMaarij
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein