[ad_1]

Siri Tadabbur Al Quran
Oleh : Ustaz Abd Muein Abd Rahman
Surah Ar Rum ayat 48 – 52

Pengajaran ayat 45 :
1. Membalas amal soleh kepada manusia tidak wajib ke atas Allah tetapi Allah mewajibkan ke atas diriNya untuk memberi balasan tersebut. Rujuk surah al an'aam ayat 54.

وَإِذَا جَآءَكَ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِـَٔايَٰتِنَا فَقُلۡ سَلَٰمٌ عَلَيۡكُمۡۖ كَتَبَ رَبُّكُمۡ عَلَىٰ نَفۡسِهِ ٱلرَّحۡمَةَ أَنَّهُۥ مَنۡ عَمِلَ مِنكُمۡ سُوٓءَۢا بِجَهَٰلَةٖ ثُمَّ تَابَ مِنۢ بَعۡدِهِۦ وَأَصۡلَحَ فَأَنَّهُۥ غَفُورٞ رَّحِيمٞ

Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami datang kepadamu, maka katakanlah, “Salamun ‘alaikum (selamat sejahtera untuk kamu).” Tuhanmu telah menetapkan sifat kasih sayang pada diri-Nya, (yaitu) barang-siapa berbuat kejahatan di antara kamu karena kebodohan, kemudian dia bertobat setelah itu dan memperbaiki diri, maka Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.
-Sura Al-An'am, Ayat 54

2. Allah menggalakkan hambaNya supaya beriman dan beramal soleh dengan menyebut balasan orang yang beriman dan beramal soleh. (contoh Nabi menyebut kelebihan amalan seperti zikir pagi dan petang sebagai dorongan untuk beramal soleh)
3. Allah mencela dan membenci kekufuran, oleh itu sesiapa yang memiliki sifat tersebut ia tidak disukai oleh Allah.

Pengajaran ayat 46 :
1. Setiap yang wujud menunjukkan tanda tanda kewujudan dan kebesaran Allah.
2. Antara tanda kebesaran Allah ialah Allah menggerakkan angin yang manusia tidak mampu menggerakkannya.
3. Nikmat Allah melalui hujan yang membawa pelbagai nikmat kepada manusia dan juga melalui kapal yang membawa pelbagai rezeki kepada manusia.
4. Bukti bukti kebesaran Allah juga adalah menunjukkan rahmat Allah kepada manusia supaya manusia bersyukur kepada Allah dan setelah bersyukur Allah akan menambah lagi nikmatNya.

Pengajaran ayat 47 :
1. Allah menghiburkan hati Rasulullah shallallahu a'laihi wasallam dengan cerita cerita umat terdahulu yang jauh lebih kuat daripada kaum musyrikin Mekah tetapi dibiasakan oleh Allah disebabkan kekafiran mereka.
2. Allah memberi amaran kepada mereka yang mengingkari perintah-Nya dan perintah Rasul.
3. Antara rahmat Allah yang terbesar adalah dengan mengurus para Rasul kepada setiap kaum masing masing.
4. Risalah risalah yang dahulu adalah khusus untuk kaum masing masing berbeza dengan risalah yang dibawa oleh Rasulullah adalah umum untuk semua umat manusia.
5. Rahmat Allah kepada manusia dengan menghantar para Rasul disertai dengan bukti bukti kerasulan mereka yang tanpa bukti itu manusia tidak akan beriman kepada Rasul.
6. Allah mewajibkan ke atas diriNya untuk menolong dan memberi kemenangan kepada orang orang yang beriman.
7. Sekiranya kemenangan tidak berpihak kepada orang orang Islam maka sebabnya ialah orang Islam belum memiliki ciri ciri orang yang beriman.
8. Allah tidak akan menolong selain daripada orang yang beriman sekiranya mereka yang tidak beriman menang maka itu adalah istidraj.

Tadabbur ayat 48:

ٱللَّهُ ٱلَّذِي يُرۡسِلُ ٱلرِّيَٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابٗا فَيَبۡسُطُهُۥ فِي ٱلسَّمَآءِ كَيۡفَ يَشَآءُ وَيَجۡعَلُهُۥ كِسَفٗا فَتَرَى ٱلۡوَدۡقَ يَخۡرُجُ مِنۡ خِلَٰلِهِۦۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمۡ يَسۡتَبۡشِرُونَ

Allah-lah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang Dia kehendaki, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka bergembira.
-Sura Ar-Rum, Ayat 48

Kalimah ٱلرِّيَاحَ ialah Kalimah jamak iaitu angin yang membawa rahmat. Jika Kalimah mufrad maka angin itu bersifat musibah/bala.

Lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya (awan meliputi seluruhnya) di langit dan Allah jadikan ia berkeping keping / bergumpal gumpal. Kemudian Allah jelaskan hujan itu keluar dari celah celah awan itu. Kenapa awan perlu digerakkan? Sebab hujan bukan turun satu tempat sahaja dan rahmat Allah menurunkan hujan di berbagai tempat. Apa faedah Allah sebut satu persatu? Tujuan untuk Allah nak kita fikir sehingga satu tahap menimbulkan rasa takut kepada Allah kerana kebesaranNya.

Kemudian Allah jelaskan apabila Allah menurunkan hujan di tempat hamba hambaNya maka dengan itu mereka يَسۡتَبۡشِرُونَ (mereka bergembira sehingga nampak di raut wajah mereka dan mereka bercerita kepada orang).

Tadabbur ayat 49 :

وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيۡهِم مِّن قَبۡلِهِۦ لَمُبۡلِسِينَ

Padahal walaupun sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.
-Sura Ar-Rum, Ayat 49

Allah nyatakan قَبۡلِ sebelum diturunkan kepada mereka hujan, padahal sebelum itu mereka قَبۡلِهِۦ sebelum gembira mereka itu berputus asa.

Orang kafir kelak menyesal kerana tidak bertaubat. Orang beriman pula menyesal kerana tidak banyak beramal.

Tadabbur ayat 50 :

فَٱنظُرۡ إِلَىٰٓ ءَاثَٰرِ رَحۡمَتِ ٱللَّهِ كَيۡفَ يُحۡيِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَآۚ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ

Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi setelah mati (kering). Sungguh, itu berarti Dia pasti (berkuasa) menghidupkan yang telah mati. Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.
-Sura Ar-Rum, Ayat 50

Kalimah فَٱنظُرۡ Allah nak kita perhatikan. Sepanjang suruh Ar Rum ini Allah nak kita banyak berfikir. Banyak Kalimah يعلمن dan يعقلون Untuk kita berfikir dan kelebihan orang yang menggunakan akal.

Ayat ini Allah suruh perhatikan kesan daripada hujan. Apa kesannya? Dari bumi yang mati dengan turunnya hujan maka bumi menjadi hidup dan subur. Banyak makanan yang kita peroleh hari ini kesan daripada hujan. Kita makan gandum kesan dari hujan. Kita makan biskut, kuih muih dan haiwan ternak kesan dari hujan yang Allah turunkan kepada kita.

Dalam surah al mulk ayat pertama Allah cerita mengenai kebesaran kerajaan Allah. Ayat terakhir Allah cerita berkenaan sekiranya air di muka bumi kering siapa yang akan mengalirkannya. Apa kaitan? Kaitannya Allah nak beritahu kerajaanNya sangat hebat bahkan berada di tanganNya. Allah nak kata kamu ni boleh mati sekiranya Allah tarik sumber air itu. Sebab itu kita ni tak payah la nak sombong dengan Allah. Air tak ada kita dah kelam kabut. Bahkan manusia boleh mati apabila tidak ada air!

Allah nak kita berfikir bagaimana Dia boleh hidupkan bumi yang mati. Sekiranya Allah boleh hidupkan bumi yang telah mati maka Allah juga maha berkuasa untuk menghidupkan kita kembali walau setelah mati dan hancur!
Fikirkan bumi yang dah mati hanya dengan air sahaja maka bumi itu menjadi hidup dan subur. Sebab itu apabila nak melanggar perintah Allah maka fikir lah banyak kali kerana Allah maha berkuasa berbuat sesuatu.

Ada tak Allah suruh kita fikir makanan yang kita makan? Macam mana ada rasa pedas, ada rasa manis, ada rasa masam. Rujuk surah A'basa ayat 24 sehingga 32.

فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ

Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.
-Sura 'Abasa, Ayat 24

Tadabbur ayat 51 :

وَلَئِنۡ أَرۡسَلۡنَا رِيحٗا فَرَأَوۡهُ مُصۡفَرّٗا لَّظَلُّواْ مِنۢ بَعۡدِهِۦ يَكۡفُرُونَ

Dan sungguh, jika Kami mengirimkan angin lalu mereka melihat (tumbuh-tumbuhan itu) menjadi kuning (kering), niscaya setelah itu mereka tetap ingkar.
-Sura Ar-Rum, Ayat 51

Allah jelaskan sekiranya Allah gerakkan رِيحٗا angin yang membawa bala dan hujan tetap turun tetapi mereka lihat tumbuh tumbuhan itu tetap menjadi kering dan mati. Kemudian mereka kembali tetap kufur. Di sini Allah nak jelaskan bahawa manusia ini apabila diberi nikmat mereka gembira Tetapi apabila diberi musibah mereka menjadi kufur dan tidak bersyukur kepada Allah.

Tadabbur ayat 52 :

فَإِنَّكَ لَا تُسۡمِعُ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَلَا تُسۡمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوۡاْ مُدۡبِرِينَ

Maka sungguh, engkau tidak akan sanggup menjadikan orang-orang yang mati itu dapat mendengar, dan menjadikan orang-orang yang tuli dapat mendengar seruan, apabila mereka berpaling ke belakang.
-Sura Ar-Rum, Ayat 52

Allah nyatakan bahawa engkau yakni Muhammad jika Nabi berdakwah kepada orang mati nescaya nabi tidak boleh menjadikan mereka yang mati itu mendengar. Apa maksud? Maksud mendengar di sini adalah mendengar yang membawa faedah.

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ

dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang berkata, “Kami mendengarkan,” padahal mereka tidak mendengarkan (karena hati mereka mengingkarinya).
-Sura Al-Anfal, Ayat 21

Allah jelaskan jangan jadi seperti orang yang kata kami mendengar sedangkan Allah nyatakan mereka tak mendengar kerana mereka tidak mendengar yang membawa mereka faedah.

Maksud kedua Allah nak jelaskan kepada nabi sekiranya Nabi berdakwah kepada mereka macam mana sekalipun jika hati mereka mati maka mereka tetap tidak mendengar bagaikan orang yang sudah mati yang tak mendengar.

Allahu'alam

[ad_2]

Sumber