MENGATASI KEMALASAN DENGAN DOA YANG DIAJAR OLEH NABI
Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Banyak amalan sunat yang kita sudah tahu tentang kelebihannya, tetapi kita masih lagi tidak amalkan.
Saya bagi contoh, amalan membaca surah 3 Qul (Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas) sebelum tidur.
Kita sudah tahu bahawa Nabi mengajarkan kepada kita surah 3 Qul ini untuk melindungi diri kita daripada bahaya.
Surah 3 Qul ini pendek sahaja, bukannya panjang seperti Surah al-Baqarah.
Tetapi, mengapa kita masih tidak amalkan?
Antara sebab kita tidak amalkan ialah kerana kita ada penyakit malas. Malas mahu baca surah 3 Qul, malas berzikir dan malas baca al-Quran.
Banyak atau tidak perkara yang kita malas? Banyak. Boleh dikatakan, semua perkara yang baik, kita malas mahu buat.
Penyakit malas ini pula disebabkan ada perkara lain yang berada di dalam diri kita. Apa dia? Nafsu.
Sebab itulah Nabi kata, akhirat ini dipenuhi dengan perkara yang tidak disukai oleh nafsu. Manakala dunia ini dipenuhi dengan perkara yang disukai oleh nafsu.
Amalan membaca surah 3 Qul ini berkaitan dengan akhirat. Jadi, nafsu kita tidak suka. Satu perkara sahaja yang kita tidak malas, iaitu makan. Siapa yang pernah rasa, “aku malaslah nak makan.”
Ada atau tidak? Tidak ada. Kenapa tidak ada? Kerana makan bukan 3 Qul, tapi 3 pinggan. Maksudnya makan memang nafsu suka.
Jadi, bila kita berhadapan dengan perkara yang kita tidak suka, kita kena sabar dan lawan balik sikap malas itu diiringi dengan doa supaya Allah lindungi diri kita daripada penyakit malas.
Apakah doa yang Nabi ajar kepada kita supaya menjauhi daripada sifat malas?
Doa yang Nabi ajar ialah,
رَبِّ أعُوذُ بِكَ من الكَسَلِ وَسُوءِ الكِبَرِ
Memandangkan kita sudah ada penyakit malas, kita pun pilih doa yang pendek-pendek sahaja.
Cuba kita terjemah doa ini. رَبِّ – wahai tuhanku. أعُوذُ – aku berlindung. بِكَ dengan Engkau. Okey, perhatikan baik-baik. Perkataan ini ada bab akidah. Kalau tersilap, boleh syirik.
Maksud بِكَ ialah kita berlindung hanya mesti dengan Allah. Tidak boleh berlindung dengan manusia ataupun jin.
Kita mahu berlindung daripada apa ini? من الكَسَلِ – malas.
Malas adalah satu musibah yang besar. Malas beribadat, malas baca al-Quran ataupun malas solat sunat.
Jadi Nabi Muhamad salla Allah alaih wasallam sangat sayang kepada kita. Baginda buat doa untuk kita baca bukan sekali seminggu, tetapi sehari dua kali kerana penyakit malas itu datang setiap hari dan sepanjang masa.
Maka kita perlu amalkan membacanya pada waktu pagi dan petang.
Kemudian, وَسُوءِ الكِبَرِ. Apa maksud ayat ni? Tua yang nyanyuk. Kalau sekadar tua sahaja, tidak ada masalah, tetapi yang menjdi masalah ialah tua yang nyanyuk.
Kenapa? Sebab rugi masa. Umur kita bertambah, tapi amal tidak bertambah. Mahu baca al-Quran tidak boleh. Mahu solat pun tidak boleh.
Jadi, marilah kita sama-sama mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang. Tetapi, bukan sekadar baca sahaja, bacalah dengan penuh penghayatan.
Kadang-kadang, bila kita sudah biasa mengamalkan zikir pagi dan petang, kita baca sahaja tanpa tahu maksud. Akhirnya yang kita baca zikir itu sahaja. Amalan yang lain tetap malas.
#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein