SEJARAH
Sejarah penubuhan Ghulam Al Dakwah adalah bermula daripada idea penganjuran Kem Ghulam Al Dakwah iaitu dengan tujuan untuk berdakwah kepada golongan belia dan meningkatkan kesedaran dakwah kepada para belia. Kem Ghulam Al Dakwah yang pertama kali dianjurkan pada 25-28 Disember 2014, dikelolakan oleh Ust Abd Muein dan dikendalikan oleh Bro. Syafiq Rozman.
Mendapat kepercayaan ibubapa dengan modul yang tersendiri, kem siri pertama ini berjaya mencapai sasaran sehingga 100 peserta. Program berjalan dengan lancar dan Alhamdulillah, semua pelajar berpuas hati dengan kem tersebut kerana input yang sangat berkualiti serta sepenuhnya diambil daripada Al-Quran dan As-Sunnah.
Tamatnya program tersebut, negara Malaysia digemparkan dengan berita bah banjir terburuk berlaku di kawasan pantai timur terutamanya Kelantan. Hasil daripada perbincangan dengan para pelajar kelas Tadabbur Al Quran Ustaz Abd Muein, kami merancang untuk mengadakan satu misi lawatan sambil membantu mangsa banjir terutamanya dari segi kerohanian.
Alhamdulillah, hasil daripada hebahan mesej, misi pertama berjaya diadakan dan melancarkan tabung bantuan ke setiap kelas Tadabbur Al Quran. Tanpa disangka, tabung pertama yang dilancarkan mendapat kutipan hampir RM 20,000.
Misi pertama yang dinamakan ‘MISI KEMANUSIAAN & DAKWAH 1.0’ dibuat 8-10 Januari 2015 yang turut disertai oleh para pelajar kelas Tadabbur Al Quran Ust Abd Muein sendiri dengan hampir 10 buah kenderaan 4×4, dikelolakan oleh Team Ghulam Al Dakwah yang diketuai oleh Ust Abd Muein Adb Rahman. Pada misi tersebut, banjir mulai surut, namun masih ada beberapa kawasan yang tidak dapat dimasuki serta hanya kenderaan 4×4 sahaja yang boleh bergerak di kawasan Kelantan.
Kelainan Team Ghulam Al Dakwah untuk misi bantuan ini, mangsa banjir tidak sahaja diberi bantuan kemanusiaan seperti bahan makanan, bahkan diberi santapan rohani (tazkirah) mengenai hikmah di sebalik kejadian banjir tersebut. Ada juga sumbangan kewangan diberikan kepada mangsa banjir yang terjejas teruk.
Hasil dari dorongan Ustaz Abd Muein dan peringatan dari sepotong hadis,
‘Barangsiapa melapangkan seorang mukmin dari salah satu kesusahan dunia, maka Allah akan melapangkannya dari salah satu kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa meringankan penderitan orang lain, maka Allah akan meringankan penderitaannya di dunia dan akhirat’ [HR Bukhari dan Muslim].
Usaha kami tidak terhenti hanya pada 1 misi sahaja bahkan berterusan setiap bulan sehingga kini setiap hujung bulan, gerakan Ghulam Al Dakwah akan turun ke kawasan pedalaman. Selain daripada itu, antara projek yang dilaksanakan adalah membina surau baru dan membaik pulih surau sedia ada, membantu keluarga miskin dan ibu tunggal, membantu penduduk kampung dan mengimarahkan suasana kampung dengan menyediakan kuliah keagamaan di masjid mahupun surau.
Dengan sokongan padu daripada umum dalam menggerakkan Ghulam Al Dakwah, tanggal 1 Mei 2015 secara rasminya didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dengan nama PERTUBUHAN GHULAM AL DAKWAH SELANGOR dengan moto “Melahirkan Du’at, Menyebarkan Islam”.