MASALAH MANUSIA IALAH TIDAK PERCAYA PADA HARI AKHIRAT

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Masalah Manusia Ialah Tidak Percaya Pada Hari Akhirat
Masalah Manusia Ialah Tidak Percaya Pada Hari Akhirat

Malah, cerita Hari Akhirat bukan cerita satu hari ke dua hari, tapi Baginda sampaikan cerita ini selama 13 tahun di Makkah. Lalu, Orang Musyrikin tidak percaya sebab selama ini mereka hidup dengan penuh keyakinan bahawa hidup ini hanya setakat di dunia sahaja.

Selepas itu, manusia akan mati. Bila mayat dah mati dan hancur di dalam tanah, habis cerita. Jadi, tidak mungkin manusia yang telah hancur, akan dihidupkan kembali apatah lagi akan diberikan balasan.

Itulah kepercayaan Orang Musyrikin.

Tiba-tiba Baginda datang ke tengah-tengah masyarakat Orang Musyrikin dan beritahu bahawa, “aku hendak beri peringatan kepada kamu semua tentang Hari Kiamat. Siapa yang buat jahat akan diazab. Siapa yang buat baik akan diberikan pahala dan masuk ke dalam syurga.”

Bila dengar cerita ini, Orang Musyrikin rasa blur. “Apa cerita ni?” Lalu mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam. “Mana azab yang engkau beritahu tu Muhammad? Tak ada pun.”

Tapi, sebenarnya pertanyaan Orang Musyrikin bukannya mahukan jawapan, tetapi mahu mengejek Baginda.

Antara ayat yang menunjukkan mereka mengejek ialah وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ – mereka berkata bila lagi janji ni? Kami tidak sabar nak mati. Ada yang kata tidak sabar, turunkanlah hujan batu ke atas kami iaitu azab. Oleh kerana mereka tidak percaya, maka mereka mencabar.

Jadi dalam cerita ini, apa isu yang Allah nak sebut? Isunya ialah manusia tidak percaya pada Hari Akhirat. Dalam ayat yang lain, Allah bertanya, “tentang apakah mereka saling bertanya?” Allah pun jawab, “iaitu tentang berita yang besar.” Surah an-Naba 78:1.

Jadi, nada ayat ini عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِیم sama dengan بِعَذَابٍ وَاقِع.

Sebenarnya masalah besar yang dihadapi manusia daripada dulu, kini dan selama-lamanya bukan masalah ekonomi ataupun pembangunan, tetapi masalah tidak yakin pada Hari Akhirat.

Cuba tanya pada diri kita pula, kita percaya atau tidak pada Hari Akhirat? Sudah pasti kita akan jawab, “percaya.” Persoalannya, “betul ke kita percaya?”

Antara berzikir dengan bersembang, mana yang lebih banyak kita lakukan? Kalau berzikir, alhamdulillah. Kalau bersembang, na’uzubillah. Itu tandanya kita tidak percaya pada Hari Kiamat. Mulut kata percaya, tetapi masih buang masa.

Dalam sehari, kita banyak buat amalan akhirat ke amalan dunia? Kalau amalan dunia, itu tandanya kita tidak percaya. Satu lagi perkara ialah adakah amalan dunia berbeza dengan amalan akhirat?

Contohnya waktu siang, kita buat amalan dunia. Waktu malam, kita buat amalan akhirat. Seolah-olah amalan dunia tidak ada kaitan langsung dengan amalan akhirat.

Bukan macam itu. Maksudnya ialah dunia merupakan kebun di akhirat. Jadi, yang perlu kita lakukan ialah jadikan setiap amalan kita di dunia, menjadi amalan akhirat.
Apa sahaja yang kita buat, contohnya kita pergi mencari rezeki. “Ada tak kaitan dengan Hari Akhirat?” “Ada.”

Kita tidur di waktu malam, “ada tak kaitan dengan Hari Akhirat?” “Ada.”

Tidak ada semata-mata untuk dunia.

Jadi, kerja Nabi yang pertama ialah cerita pada orang kafir tentang Hari Akhirat. Nabi bermati-matian cerita tentang Hari Akhirat di hadapan Orang Kafir sehingga kena maki, tapi kita? Satu ayat pun kita tidak sampaikan.

Orang-orang kafir dahulu menolak Islam setelah sampai al-Quran kepada mereka. Berbeza dengan kita hari ini, kita belum sampaikan lagi al-Quran kepada orang kafir di Malaysia.

Apa bukti tidak sampai? Sebab mereka tidak tanya pun kepada kita bagaimana dan bila nak berlaku Hari Akhirat.

Bahkan orang-orang Islam sendiri pun tidak faham cerita-cerita di dalam Surah Makkiyyah. Orang-orang Islam baca sahaja al-Quran, tetapi tidak faham pun. Kalau orang Islam pun tidak faham, bagaimana mahu sampaikan kepada Orang Kafir?

Kadang-kadang kita mendakwa memuliakan dan menghormati Nabi. Sehingga tahap siapa yang hina Nabi, kita pun maki, kutuk dan marah.

Tapi kita sendiri, tidak buat pun kerja Nabi. Jadi, sebelum kita marah pada orang kafir, kita marah dulu pada diri sendiri. Kita sendiri pun masih tidak faham, apatah lagi mahu menyampaikan kepada mereka.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahalMaarij
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

Alamat

No. 40, Jalan Tiang Seri U8/73C,
Tropika 1 Bukit Jelutong,
40150 Shah Alam, Selangor, Malaysia.

Whatsapp : 019 868 2015

Visi Ghulam

Melahirkan Du’at
Menyebarkan Islam

Live Streaming

Hakcipta Terpelihara © 2022 Pertubuhan Ghulam Al Dakwah Selangor