[ad_1]

Siri Tadabbur Al Quran
Oleh : Ustaz Abd Muein Abd Rahman
Surah Ar Rum ayat 6 – 7

Dalam ayat yang lepas, Allah memberitahu mukjizat Al Quran ialah menjelaskan apa yang akan berlaku. Iaitu apabila Rom dikalahkan oleh parsi dan Al Quran memberitahu selepas 7 tahun Rom pula akan mengalahkan parsi. Di dalam tafsir menyebut ketika Rom menang menentang parsi ketika itu tentera islam menang ketika berperang dengan tentera quraish dalam perang badr.

Pengajaran lepas :

1. Allah mengetahui perkara ghaib dan itu juga sebagai bukti bahawa Al Quran bukan daripada Muhammad.
2. Berita tentang perkara ghaib hanya berlaku melalui wahyu. Tidak boleh berlaku melalui mimpi manusia biasa.
Dalilnya kisah perjanjian hudaibiyah. Nabi dan para sahabat ke mekah untuk menunaikan haji lalu dihalang dan nabi kembali ke madinah semula tanpa mengerjakan haji.
3. Semua perkara yang berlaku adalah dengan perintah Allah dan izinNya. Termasuk kemenangan kaum kafir dengan izin Allah dan dengan hikmahnya.
4. Harus kita menakut-nakutkan musuh dengan perkataan seperti dalam Al Quran iaitu dalam beberapa tahun kamu akan kalah.
5. Harus orang beriman bergembira dengan kemenangan sebahagian orang kafir ke atas sebahagian yang lain apabila kemenangan itu membawa keuntungan kepada Islam.
6. Harus kaum kafir ditolong oleh Allah menjadi sebab ke atas kemenangan mereka.

Sambungan Tadabbur ayat 6

وَعۡدَ ٱللَّهِۖ لَا يُخۡلِفُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُۥ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

(Itulah) janji Allah. Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
-Sura Ar-Rum, Ayat 6

Apakah janji Allah yang tidak mungkir?
Pertama Rom akan menang menentang parsi dan kedua orang beriman akan gembira ke atas kemenangan Rom. Kenapa Allah memberitahu bahawa Dia tidak akan mungkir janji? Kerana kebanyakan manusia tidak tahu bahawa janji Allah adalah benar dan pasti berlaku. Sebaliknya manusia mempunyai sifat mungkir janji. Beberapa sebab manusia mungkir janji iaitu memang dia adalah berdusta dan kedua memang dia tidak mampu menunaikan janji kerana halangan. Sifat ini menunjukkan manusia lemah, manakala Allah tidak mungkin berdusta dan mungkir janji kerana Dia maha berkuasa.

Allah berjanji siapa yang solat sunat subuh 2 rakaat maka dia mendapat dunia dan seisinya.
Manusia pula kata siapa yang pergi kerja awal dan balik lewat akan dapat gaji lebih.
Manusia ikut kata siapa? Janji Allah atau janji manusia?

Allah kata siapa yang sedekah akan dilipat kali ganda sehingga 700 kali.
Manusia kata siapa yang menyimpan dia akan menjadi kaya.
Manusia ikut kata-kata siapa? Itulah manusia sebab itu Allah kata kebanyakan manusia tidak yakin akan janji Allah. Hanya sedikit sahaja yang mempercayai janji Allah.

Manusia sebenarnya tidak ada ilmu. Apakah ilmu yang Allah nafikan kepada manusia? Iaitu ilmu tentang Allah, ilmu tentang akhirat dan manusia sangat jahil tentang semua ilmu ghaib.

يَعۡلَمُونَ ظَٰهِرٗا مِّنَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ عَنِ ٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ غَٰفِلُونَ

Mereka mengetahui yang lahir (tampak) dari kehidupan dunia; sedangkan terhadap (kehidupan) akhirat mereka lalai.
-Sura Ar-Rum, Ayat 7

Manusia sanggup menghabiskan beribu untuk dunianya kerana semuanya nampak tetapi tidak untuk akhirat kerana tidak percaya kehidupan akhirat yang ghaib. Manusia hanya tahu kehidupan dunia yang zahir sahaja. Dapat makan, dapat duit, dapat isteri-anak, dapat naik pangkat dan sebagainya.

Dalam ayat Al Quran Allah gunakan perkataan من bermaksud sebahagian. Menunjukkan bahawa dari kehidupan dunia, manusia hanya tahu sebahagian sahaja tidak kesemua. Contoh pada zaman nabi tidak ada lagi teknologi telefon dan sebagainya. Tetapi ilmu itu dapat diketahui pada zaman sekarang. Bermaksud manusia tidak akan mengetahui semua walaupun hal zahir tentang perkara dunia.

Mana yang lebih kita syukur? Ketika sihat atau sakit? Tentu sewaktu sihat kerana semua boleh kita lakukan. Tetapi adakah kita lakukan semua kebaikan ketika Allah beri kesihatan kepada kita? Berapa banyak kita baca al Quran ketika sihat? Berapa banyak solat sunat telah kita kerjakan semasa sihat? Menunjukkan manusia mudah lalai tentang kehidupan akhirat.

Jika kita mendapat musibah, adakah kita suka atau tidak? Nabi Yusuf ketika digoda oleh isteri Al Aziz lalu dikatakan penjara lebih dia sukai. Kisah Prof Hamka ketika hidupnya dipenjara oleh Sukarno. Ketika Sukarno meninggal lalu dia solat jenazah untuk Sukarno sedangkan kerana Sukarno lah dia masuk penjara dan Hamka katakan kepada umum, oleh kerana dia berada di penjara lah dia berjaya menyiapkan kitab tafsir al azhar. Itulah fikiran orang beriman. Memikirkan apakah sumbangan dan manfaat paling besar yang telah dia lakukan untuk umat.

Faham tak apa yang Allah jelaskan di dalam Al Quran sebenarnya? Siapakah yang Allah nak rawat sebenarnya? Adakah kepada orang kafir? Tidak, Allah sebenar nak menegur kita dan nak merawat hati kita.

بَلۡ قُلُوبُهُمۡ فِي غَمۡرَةٖ مِّنۡ هَٰذَا وَلَهُمۡ أَعۡمَٰلٞ مِّن دُونِ ذَٰلِكَ هُمۡ لَهَا عَٰمِلُونَ

Tetapi, hati mereka (orang-orang kafir) itu dalam kesesatan dari (memahami Al-Qur'an) ini, dan mereka mempunyai (kebiasaan banyak mengerjakan) perbuatan-perbuatan lain (buruk) yang terus mereka kerjakan.
-Sura Al-Mu'minun, Ayat 63

Cuba kita fahami apa yang Allah nak jelaskan di dalam ayat atas. Allah katakan bahkan hati hati mereka di dalam kejahilan daripada akhirat. Dalam bab akhirat hati mereka jahil. Makna apa itu? Kadang kadang kita lakukan perkara akhirat tetapi hati kita tidak bersama Allah. Dia habiskan banyak masa dan tenaga untuk kerja dunia yang sementara sedangkan untuk kerja akhirat dia lakukan semasa penat dan kesuntukan masa. Contoh bila solat akhir waktu. Bila baca al Quran mengantuk sedangkan bila tengok tv dan baca WhatsApp tak mengantuk pula! Bila manusia betul betul nampak tentang akhirat?

لَّقَدۡ كُنتَ فِي غَفۡلَةٖ مِّنۡ هَٰذَا فَكَشَفۡنَا عَنكَ غِطَآءَكَ فَبَصَرُكَ ٱلۡيَوۡمَ حَدِيدٞ

Sungguh, kamu dahulu lalai tentang (peristiwa) ini, maka Kami singkapkan tutup (yang menutupi) matamu, sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam.
-Sura Qaf, Ayat 22

Allah jelaskan bahawa sesungguhnya adalah engkau semasa dulu dalam keadaan lalai. Allah tempelak manusia yang fikirannya hanya kepada dunia tanpa memikirkan bahagiannya di akhirat. Allah hijab mata kita. Dulu di dunia Allah dah beri macam macam tetapi engkau melupakan. Sekarang bila tiba hari akhirat mata engkau akan tajam kerana peristiwa akhirat yang sangat mengerikan.

Bermacam macam kita dengar kebaikan bila melakukan amal soleh. Iktikaf di masjid pahala sekian sekian. Solat berjemaah pahala 27 darjat. Sedekah akan di lipat ganda pahala. Tetapi di akhirat baru tajam penglihatan kerana dah nampak bermacam macam nikmat yang Allah nak beri kepada orang beriman.

Kita menjadi susah untuk beramal soleh kerana hati kita ada hijab iaitu DOSA! Cara untuk menjadikan hati kita lembut dan mudah beramal soleh adalah dengan cara BERTAUBAT KEPADA ALLAH!

أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُۥ لِلۡإِسۡلَٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٖ مِّن رَّبِّهِۦۚ فَوَيۡلٞ لِّلۡقَٰسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ أُوْلَٰٓئِكَ فِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٍ

Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam lalu dia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.
-Sura Az-Zumar, Ayat 22

Allah jelaskan orang orang yang Allah lapangkan hatinya untuk Islam dia berada di atas cahaya. Di mana sahaja dia bergerak cahaya itu akan meneranginya. Pertama siapa yang melapangkan hati manusia? ALLAH!
Apa cara untuk lapangkan hati kita? Tidak ada hanya dengan cara mencari Tuhan! Dan untuk mencari Tuhan hanya dengan mengikuti ajaran AL Quran! (belajar tadabbur al Quran).

Pengajaran ayat 6 dan 7:

1. Rom mengalahkan parsi dan orang beriman gembira adalah antara janji Allah yang tidak mungkin tidak berlaku.
2. Kebanyakan manusia jahil tentang Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hak hak Allah. Kita mesti nak hak kita ditunaikan tetapi kita sendiri tidak menunaikan hak Allah.
3. Ilmu yang hakiki adalah ilmu tentang Allah, nama namaNya dan sifat sifatNya, bukan ilmu tentang dunia.
4. Terbatasnya ilmu manusia iaitu hanya sebahagian ilmu dunia yang zahir.
5. Allah mencela mereka yang berlumba lumba untuk mengejar dunia tetapi lalai daripada akhirat.

===============

Sekiranya anda ingin menjadi sebahagian team dakwah GAD, jom menyumbang kepada usaha dakwah ini walau sedikit demi memastikan iainya terus berjalan dan semoga rahmat Allah bersama kita semua.
Infaq anda boleh terus disalurkan melalui link berikut :

https://ghulamaldakwah.com/donations/tabung-infaq-kebajikan/

[ad_2]

Sumber