[ad_1]

Al Kisah perigi di Pulau Maiga

Idea untuk membina sebuah perigi di Pulau Maiga tercetus pada bulan September 2018 selepas beberapa kali isu terputusnya bekalan air bersih untuk kegunaan wudhu dan keperluan asas guru tajaan GAD yang kita lantik untuk menjadi imam dan mengajar iqra/Al Quran kepada anak-anak Bajau Laut dan Suluk yang menetap di Pulau Maiga di sekitar Surau Ghulam Al Dakwah Pulau Maiga. Setiap minggu pihak GAD akan membeli bekalan air bersih dari Semporna dan dihantar ke PulauMaiga untuk kegunaan surau. Kos setiap kali penghantaran bekalan air bersih bagi memuatkan 3 tangki sekitar RM150 dan hanya mampu bertahan selama seminggu sahaja. Kami terpaksa menaja sekitar Rm600 sebulan bagi menyediakan bekalan air bersih untuk kegunaan surau Pulau Maiga. Satu kos yang agak besar dan belum termasuk kos-kos lain seperti minyak petrol untuk menghidupkan generator dan sekarang alhamdulillah hasil infaq orang ramai, kita berjaya membina sebuah tenaga solar di surau yang dipasang menggantikan generator. Jazakumullahu khayran kepada penginfaq dan sehingga kini ianya sangat bermanfaat dan dapat digunakan sepenuhnya dan duit GAD juga selamat untuk menampung kos mintak petrol bagi menghidupkan generator untuk Surau setiap bulan.

Cerita Perigi pertama yang dibina adalah hasil sumbangan Projek Infak Quran Daily (PIQD) yang kosnya sekitar Rm4500 menggunakan kepakaran tempatan yang diupah dari bandar Semporna untuk korek dan menggunakan sistem tubing dan air dipam terus ke tangki Surau.

Perigi pertama ini sempat digunakan oleh penduduk kampung sekitar 3 ke 4 minggu sahaja dan kerap tersumbat pasir halus ke dalam paip yang ditanam di dalam perigi. Kata tukang tersebut, perigi ini perlu diservis seminggu sekali bagi membuang pasir halus yang tersekat di penapis paip menyebabkan air tidak dapat dipam ke tangki. Oleh kerana misi dakwah kita sebulan sekali, maka pada bulan seterusnya kami buat pantauan dan melawat semula keadaan perigi tersebut untuk selesaikan masalah yang berlaku. Alhamdulillah a'la kulli hal, perigi pertama sudah tersumbat dan paip yang ditanam di dalam perigi terus tertanam selamanya dan tak dapat dikeluarkan walau ditarik oleh 5 lelaki gagah perkasa.

Tukang yang kami upah sebelum ini kami bawa ke Pulau Maiga dan minta cek semula keadaan perigi. Selepas berbincang, cadangannya, dia minta kita tambah Rm1500 untuk kos dia korek semula Perigi ke dua dan kali ini dia akan pasang pagar supaya tidak ada yang boleh mengusik paip yang ditanam dan dia akan ajar beberapa orang penduduk di situ termasuk guru yang kita lantik untuk servis setiap minggu. Betul kata pepatah, oleh kerana yang servis dari kalangan penduduk kampung yang bagaikan tikus membaiki labu dan akhirnya perigi ke dua juga tersumbat dan tak dapat diselamatkan. Alhamdulillah dua perigi selamat disemadikan di belakang surau pulau maiga.

Namun, tak berakhir di situ. Guru yang kita lantik yang menetap di Pulau Maiga itu (Rijal nama diberi atau Maiga Boy nama yang dikenali penduduk pulau) mengerah tenaga beliau bersama anak didiknya untuk mengorek perigi yang ke tiga! Ceritanya, 3hari 3malam beliau korek dengan anak didiknya dan alhamdulillah berjaya mendapatkan air dengan kedalaman 5kaki dan lubang perigi besarnya lebih kurang 3-4 kaki. Misi dakwah pada bulan hadapan kami tiba di Pulau Maiga dan menyaksikan sendiri perigi yang dikorek oleh Rijal dan pelajarnya. Kami kagum dengan usaha beliau yang tidak berputus asa dan sentiasa kreatif menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Binaan pagar dan atap yang dibina pada perigi ke dua, dicabut dan dipasang semula pada perigi ke tiga. Alhamdulillah perigi ketiga juga berjaya digunakan selama beberapa bulan dan isu yang sama, paip air tersumbat dengan pasir halus dan air tetap tidak dapat dipam masuk ke tangki. Kesannya pam yang digunakan sehingga rosak dan tak dapat dibaiki lagi. Terkubur sekali lagi perigi ke tiga di Pulau Maiga.

Seminggu sebelum kami meneruskan misi dakwah pada bulan Ramadhan tahun ini, kami mendapat berita dari Rijal bahawa ada beberapa jemaah Tabligh yang datang untuk berdakwah di sekitar Pulau Maiga. Kami bertanya, bagaimana keadaan bekalan air di sana dan jika perlu kita akan membeli seperti biasa untuk kegunaan surau. Kata Rijal, jemaah tabligh berbincang dan bersetuju untuk membina perigi yang ke 4!

Dan perigi tersebut baru dikorek pada 21 Mei 2019 dan sehari sebelum kami sampai di Pulau Maiga semalam. Apabila tiba di Surau Pulau Maiga, kami disambut dan bersalaman bersama jemaah tabligh yang telah menetap selama 5 hari. Perancangan asal mereka untuk berada di situ selama 3 hari sahaja, tetapi apabila melihat kan keadaan surau yang sudah cantik dan tersedia penuh fasiliti tetapi bekalan air bersih tidak ada, maka mereka berbincang untuk tinggal 2hari lagi dan membina sebuah perigi lain berhampiran perigi perigi yang terkubur di belakang surau. Mereka membeli pam baru dan paip saliran baru. Hampir 3 kali keluar masuk ke Pulau Maiga bagi memastikan perigi kali ini berjaya diselesaikan.

Kesepakatan jemaah tabligh sangat mengagumkan. Mereka mengorek perigi tersebut pada sebelah malam kerana cuaca pada siang sangat panas dan dalam keadaan berpuasa. Alhamdulillah Perigi tersebut berjaya dikorek dari lepas terawih sehingga jam 3pagi dengan kedalaman sekitar 7-8kaki dan keluasan 5kaki. Kami tiba dan melihat sendiri perigi tersebut yang siap dibina benteng untuk menghalang pasir terjunam dan air yang mereka peroleh seperti air mineral dan boleh diminum, digunakan untuk memasak! Berbeza dengan perigi sebelum ini, airnya rasa seperti payau dan tak dapat digunakan untuk minum dan memasak.

Kesungguhan pada wajah mereka menampakkan keikhlasan pada diri mereka untuk membantu penduduk kampung mendapatkan bekalan air bersih. Dengan terbinanya perigi ke 4 ini mari kita doakan agar ianya terus kekal dan dapat digunakan seluruh penduduk pulau maiga terutama untuk keperluan surau dan lain-lain. Semoga manfaat ini menjadikan pahala buat semua. Termasuk para penginfaq dari perigi pertama kerana dari usaha yang awal itulah menjadi asbab terbinanya usaha yang terus menerus. Semoga iainya menjadi pahala yang mengalir bagaikan sungai dan terbentang kebaikan seluas lautan biru. Sama sama kita bantu sama ada melalui idea, tenaga, masa, wang ringgit mahupun DOA dari kalian semua untuk memastikan usaha dakwah ini terus berjalan!

==========================

Sekiranya anda ingin menjadi sebahagian team dakwah GAD, jom menyumbang kepada usaha dakwah ini walau sedikit demi memastikan iainya terus berjalan dan semoga rahmat Allah bersama kita semua.
Infaq anda boleh terus disalurkan melalui link berikut :

https://ghulamaldakwah.com/donations/tabung-infaq-kebajikan/

#CeritaPerigiPulauMaiga
#MisiKhasSempornaSandakanMei2019
#MisiKhasRamadhan
#GhulamAlDakwah





[ad_2]

Sumber