[ad_1]

SAYA SAYANG ABANG KERANA ALLAH

Tadi seusai saya pos buku di Poslaju, tekak saya kering dan teringin nak mencari air bagi menghilangkan rasa dahaga. Lalu saya ternampak sebuah gerai tepi jalan dan singgah sekejap sebelum mencari surau berdekatan kerana waktu solat Asar baru sahaja masuk.

Saya buka tingkap kereta dan minta sebungkus air mata kucing. Mata saya meliar mencari signboard surau sekiranya ada berhampiran. Lalu saya cuba bertanya kepada abang peniaga berkenaan.

"Bang, surau kat mana yang paling dekat sini?" tanya saya pada beliau.

"Tak tahu lah bang, saya bukan orang sini. Saya tak tinggal di sini." jawab abang peniaga. Tangannya masih menciduk air untuk menuang ke dalam bungkusan yang saya minta.

Saya meneruskan dialog, "Abang solat kat mana?".

Lalu digarunya rambut tanda seperti tidak mahu menyahut soalan saya, " saya.. Saya tak solat.. Saya ja..jarang-jarang solat..", ujar abang peniaga berkenaan.

Tersentak minda saya seakan terkedu mendengar jawapan berkenaan. Umurnya masih muda, sihat dan nampak seperti kejujuran pada wajah beliau.

Lalu beliau menyerahkan air yang saya minta dan saya berikan wang bayarannya melalui tingkap sebelah pemandu.

Bibir saya seakan beku untuk ucapkan sesuatu padanya. Saya pun berlalu pergi dan mencari surau berhampiran. Saya singgah solat dan sepanjang solat fikiran saya melayang ke arah abang berkenaan. Saya fikir jika saya tidak sempat sampaikan sesuatu pesanan padanya saya rasa berdosa dan sangat bersalah.

Habis sahaja solat, tanpa berlengah saya sambung wirid dalam kereta dan mencari semula jalan menuju ke gerai abang peniaga berkenaan.

Kali ini saya bertekad untuk menghadiahkan kepadanya dua buah buku tulisan Ustaz Abd Muein Abd Rahman dalam bentuk saiz poket iaitu tajuknya sangat sesuai untuk kita jadikan bahan dakwah. Buku "Kenapa Anda Wajib Solat?" dan buku "Matlamat Hidup Seorang Muslim dan Kewajipan Tadabbur Al Quran."

Sesampai sahaja saya di gerai berkenaan, saya parking di tepi jalan dan melihat pelanggan lain berlalu, barulah saya keluar dari kereta dan menuju ke arah gerai tersebut.

"Assalamualaikum bang, saya nak dua ketul ayam." saya bermula.

"Abang nak bahagian mana?, abang peniaga menyahut. " Mana-mana bahagian pun tak apa", ujar saya.

Ketika tangannya sibuk membuka plastik bungkusan dan memilih bahagian ayam, saya menyambung, "bang, ini saya ada dua buah buku sebagai hadiah saya pada abang", sambil tangan saya menghulur kepadanya dan menunjukkan tajuk hadapan buku. Riak wajahnya gembira mendengar.

Saya terus menyambung kata, "abang.. Saya nak beritahu saya sayang abang kerana Allah. Tadi lepas saya tanya abang sudah solat atau belum, saya rasa sedih kalau tak dapat ingat kan abang bahawa solat sangat penting untuk kita sebagai seorang Muslim. Saya rasa serba salah jika tidak beritahu sesuatu sebab saya percaya abang seorang Islam.

Walau abang dengan saya bukan adik beradik, lain ibu ayah tapi kita tetap bersaudara kerana kita hanya ada Tuhan yang satu. Kita bernaung di bawah langit yang sama, kita berpijak pada bumi yang sama. Maka sebagai seorang Islam saya sayang abang kerana Allah. Perasaan saya menyebabkan saya tidak boleh duduk diam jika saya tak sempat nak beritahu kepada abang tentang hal ini.

Kenapa solat wajib untuk kita sebagai seorang Islam? Sebab solat adalah tanda hubungan kita dengan Allah. Soal mencari duit saya tak perlu ingat kan abang sebab saya tahu semua orang boleh berfikir dan bekerja untuk dia teruskan hidup. Tapi ramai terlupa bahawa esok kalau sudah mati apa bekal kita nak bawa? Duit, perniagaan, harta kita cari hanyalah sementara di dunia.

Solat, solat lah yang akan menjadi penilaian utama kita sebagai orang Islam." saya meneruskan kata dengan melihat wajahnya.

Seakan riak wajahnya sayu dan memikirkan sesuatu, "Solat akan menjadi salah satu 'kenderaan' kita yang akan membawa kita menuju ke Syurga. Kat dunia abang perlukan duit, perlukan kereta nak bergerak untuk sampai ke sesuatu tempat. Apabila kita mati nanti, solat akan menjadi alat untuk kehidupan kita di 'sana' nanti.

Saya beritahu sekarang sebab saya betul betul sayang abang kerana Allah. Saya tak nak nanti saya tak jumpa abang di Syurga. Kita hidup sesusah mana pun, abang jangan tinggal solat. Sebab hidup di dunia sifatnya sementara dan kesusahan juga bersifat sementara. Esok bila dah mati, semua kita nak balik ke Syurga. Perjanalan di sana lebih susah, dan solat akan membantu kita atas rahmat Allah". Saya menyambung dan menghabiskan pesanan dengan harapan abang peniaga berkenaan akan mendengar dan boleh menerima apa yang cuba ingin saya sampaikan.

"Terima kasih bang", balas abang peniaga berkenaan. " Sama-sama. Abang boleh belek buku – buku ini dan baca ya. Saya doakan semoga perniagaan abang lebih maju apabila abang tetap menjaga solat, kalau ada sebarang persoalan abang boleh hubungi no yang tertera di dalam buku berkenaan," saya menamatkan bicara dan berlalu pergi.

Jauh di sudut hati saya berdoa semoga Allah ampunkan dosa saya dan rahmati abang berkenaan. Kerana sekurangnya saya telah menjalankan amanah ilmu kerana banyak lagi untuk saya kongsikan tetapi mungkin cukup untuk waktu itu. Insha Allah saya akan cuba kembali untuk bersahabat dengannya. Kerana dakwah memerlukan masa dan kesabaran.

Dua buah buku ini sangat bagus untuk anda miliki dan simpan di dalam kereta. Kerana di mana sahaja kita berada, ruang dakwah sentiasa ada bagi orang orang yang mahu.

🖋️Abu Musa.

.


[ad_2]

Sumber