MASALAH MANUSIA IALAH TIDAK PERCAYA PADA HARI AKHIRAT

MASALAH MANUSIA IALAH TIDAK PERCAYA PADA HARI AKHIRAT

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Masalah Manusia Ialah Tidak Percaya Pada Hari Akhirat
Masalah Manusia Ialah Tidak Percaya Pada Hari Akhirat

Malah, cerita Hari Akhirat bukan cerita satu hari ke dua hari, tapi Baginda sampaikan cerita ini selama 13 tahun di Makkah. Lalu, Orang Musyrikin tidak percaya sebab selama ini mereka hidup dengan penuh keyakinan bahawa hidup ini hanya setakat di dunia sahaja.

Selepas itu, manusia akan mati. Bila mayat dah mati dan hancur di dalam tanah, habis cerita. Jadi, tidak mungkin manusia yang telah hancur, akan dihidupkan kembali apatah lagi akan diberikan balasan.

Itulah kepercayaan Orang Musyrikin.

Tiba-tiba Baginda datang ke tengah-tengah masyarakat Orang Musyrikin dan beritahu bahawa, “aku hendak beri peringatan kepada kamu semua tentang Hari Kiamat. Siapa yang buat jahat akan diazab. Siapa yang buat baik akan diberikan pahala dan masuk ke dalam syurga.”

Bila dengar cerita ini, Orang Musyrikin rasa blur. “Apa cerita ni?” Lalu mereka pun bertanya kepada Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam. “Mana azab yang engkau beritahu tu Muhammad? Tak ada pun.”

Tapi, sebenarnya pertanyaan Orang Musyrikin bukannya mahukan jawapan, tetapi mahu mengejek Baginda.

Antara ayat yang menunjukkan mereka mengejek ialah وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ – mereka berkata bila lagi janji ni? Kami tidak sabar nak mati. Ada yang kata tidak sabar, turunkanlah hujan batu ke atas kami iaitu azab. Oleh kerana mereka tidak percaya, maka mereka mencabar.

Jadi dalam cerita ini, apa isu yang Allah nak sebut? Isunya ialah manusia tidak percaya pada Hari Akhirat. Dalam ayat yang lain, Allah bertanya, “tentang apakah mereka saling bertanya?” Allah pun jawab, “iaitu tentang berita yang besar.” Surah an-Naba 78:1.

Jadi, nada ayat ini عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلۡعَظِیم sama dengan بِعَذَابٍ وَاقِع.

Sebenarnya masalah besar yang dihadapi manusia daripada dulu, kini dan selama-lamanya bukan masalah ekonomi ataupun pembangunan, tetapi masalah tidak yakin pada Hari Akhirat.

Cuba tanya pada diri kita pula, kita percaya atau tidak pada Hari Akhirat? Sudah pasti kita akan jawab, “percaya.” Persoalannya, “betul ke kita percaya?”

Antara berzikir dengan bersembang, mana yang lebih banyak kita lakukan? Kalau berzikir, alhamdulillah. Kalau bersembang, na’uzubillah. Itu tandanya kita tidak percaya pada Hari Kiamat. Mulut kata percaya, tetapi masih buang masa.

Dalam sehari, kita banyak buat amalan akhirat ke amalan dunia? Kalau amalan dunia, itu tandanya kita tidak percaya. Satu lagi perkara ialah adakah amalan dunia berbeza dengan amalan akhirat?

Contohnya waktu siang, kita buat amalan dunia. Waktu malam, kita buat amalan akhirat. Seolah-olah amalan dunia tidak ada kaitan langsung dengan amalan akhirat.

Bukan macam itu. Maksudnya ialah dunia merupakan kebun di akhirat. Jadi, yang perlu kita lakukan ialah jadikan setiap amalan kita di dunia, menjadi amalan akhirat.
Apa sahaja yang kita buat, contohnya kita pergi mencari rezeki. “Ada tak kaitan dengan Hari Akhirat?” “Ada.”

Kita tidur di waktu malam, “ada tak kaitan dengan Hari Akhirat?” “Ada.”

Tidak ada semata-mata untuk dunia.

Jadi, kerja Nabi yang pertama ialah cerita pada orang kafir tentang Hari Akhirat. Nabi bermati-matian cerita tentang Hari Akhirat di hadapan Orang Kafir sehingga kena maki, tapi kita? Satu ayat pun kita tidak sampaikan.

Orang-orang kafir dahulu menolak Islam setelah sampai al-Quran kepada mereka. Berbeza dengan kita hari ini, kita belum sampaikan lagi al-Quran kepada orang kafir di Malaysia.

Apa bukti tidak sampai? Sebab mereka tidak tanya pun kepada kita bagaimana dan bila nak berlaku Hari Akhirat.

Bahkan orang-orang Islam sendiri pun tidak faham cerita-cerita di dalam Surah Makkiyyah. Orang-orang Islam baca sahaja al-Quran, tetapi tidak faham pun. Kalau orang Islam pun tidak faham, bagaimana mahu sampaikan kepada Orang Kafir?

Kadang-kadang kita mendakwa memuliakan dan menghormati Nabi. Sehingga tahap siapa yang hina Nabi, kita pun maki, kutuk dan marah.

Tapi kita sendiri, tidak buat pun kerja Nabi. Jadi, sebelum kita marah pada orang kafir, kita marah dulu pada diri sendiri. Kita sendiri pun masih tidak faham, apatah lagi mahu menyampaikan kepada mereka.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahalMaarij
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

PEPERANGAN YANG LEBIH DAHSYAT DARIPADA PEPERANGAN SENJATA

PEPERANGAN YANG LEBIH DAHSYAT DARIPADA PEPERANGAN SENJATA

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Peperangan Yang Lebih Dahsyat Daripada Peperangan Senjata
Peperangan Yang Lebih Dahsyat Daripada Peperangan Senjata

Surah al-Ma’aarij adalah Surah Makkiyyah. Biasanya Surah Makkiyyah bercerita tentang akidah seperti mentauhidkan Allah, beriman dengan Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam dan juga yakin dan percaya pada Hari Kiamat ataupun Hari Pembalasan.

Malah, Nabi sendiri telah mengambil masa selama 13 tahun berdakwah di Makkah al-Mukarramah untuk memperbetulkan akidah masyarakat Arab Jahiliah yang telah rosak.

Secara tidak langsung, Nabi mengajar kita cara nak betulkan masyarakat bukan dengan ekonomi, jalan raya, rumah, jambatan, elektrik ataupun air terlebih dahulu, tetapi betulkan perkara yang lebih utama daripada semua itu iaitu akidah.

Sebab bila akidah kita tidak betul, semua nikmat yang kita dapat akan menjadi musibah kerana hubungan kita semakin jauh daripada Allah subhanahu wa ta’ala.
Sebab itu Allah kata di dalam Surah al-‘Alaq ayat 6, كَلَّآ إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَيَطْغَىٰٓ – ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya).

Ayat ini beritahu kepada kita bahawa akan ada manusia yang menjadi sombong dan melampau sehingga melawan Tuhan.

Siapa mereka itu? أَن رَّءَاهُ ٱسْتَغْنَىٰٓ – dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

Manusia yang merasa dirinya kaya, ada harta, kedudukan dan juga pangkat. Mereka terus lupa diri sebab tidak ada akidah.

Kaya atau miskin bukan masalah, yang penting adalah akidah.

Sebab itulah Nabi mengambil masa lebih kurang 13 tahun untuk betulkan perkara yang paling asas ini iaitu akidah.

Maka oleh sebab itu, perjuangan membetulkan akidah ini seperti sebuah peperangan. Kalau kita pergi berperang, apa yang kita boleh bayangkan?

Kita membayangkan Nabi dan juga para sahabat berperang dengan senjata, ada yang terbunuh, ada yang tercedera sehinggalah akhirnya peperangan itu berakhir.

Tapi, ada satu peperangan yang tidak akan berhenti ataupun tanda noktah sebab manusia sentiasa mengikut hawa nafsu yang menyuruh kepada kejahatan dan manusia sentiasa ditipu oleh syaitan 24 jam.

Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam mengambail masa 23 tahun bagi berjuang dalam peperangan ini. Malah, peperangan ini lebih bahaya daripada peperangan dengan senjata. Inilah peperangan memperbetulkan akidah manusia.

Peperangan ini tidak menggunakan senjata. Jadi, tidak akan ada manusia yang cedera, mati ataupun bangunan yang runtuh.

Senjatanya hanyalah al-Quran dan juga sunnah-sunnah Nabi Muhammad salla Allah alaih wa sallam.

Namun, kekalahan dalam peperanan ini sangat dahsyat iaitu menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka. Hidup di dunia badan sihat, harta banyak dan umur pula panjang, tapi akhirnya masuk ke dalam neraka.

Sebab itulah Surah Makkiyyah banyak menyentuh tentang isu akidah. Jadi, fungsi Surah Makkiyyah adalah untuk merawat penyakit-penyakit akidah dan juga penyakit hati manusia sedikit demi sedikit.

Jadi, secara umumnya Surah al-Ma’aarij mahu merawat penyakit hati dan akidah manusia yang telah jauh terpesong daripada kebenaran.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahalMaarij
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

SUNGGUH LICIK BISIKAN SYAITAN

SUNGGUH LICIK BISIKAN SYAITAN

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Sungguh Licik Bisikan Syaitan
Sungguh Licik Bisikan Syaitan

Dalam ayat yang terakhir Surah an-Naas, Allah beritahu bahawa makhluk yang selalu membisikkan kejahatan dalam hati manusia ada dua jenis makhluk.
Pertama, jin. Kedua, manusia.

Adapun syaitan bukan makhluk, syaitan hanyalah sifat. Perkataan syaitan daripada perkataan ‘syatuna’ bermaksud ‘ba’uda – dia telah jauh.’
Jauh daripada apa? Jauh daripada rahmat Allah.

Jadi perkataan ‘syaithan’ maksudnya ialah jauh daripada rahmat Allah. Boleh? Jadi syaitan bukan makhluk, tapi sifat.

Bila syaitan adalah sifat, jin boleh atau tidak menjadi syaitan? Boleh.

Bila? Ketika dia jauh daripada rahmat Allah ataupun ketika dia buat maksiat. Manusia boleh atau tidak menjadi syaitan? Boleh.

Kedua-dua makhluk ini, mereka bisik di mana? Di hati.

Kenapa Allah sebut mesti di hati? Sebab Allah mahu gambarkan, bisikan di hatilah yang paling susuh kita mahu elak. Sebab itulah kita tidak perasan.
Kalau bisik di telinga, perasan atau tidak?

Contoh, “jom pergi buat maksiat.” Kita perasan atau tidak? Kalau kita perasan, terus kita bagi penampar sahaja. Tapi sekarang ini, bisikan dalam hati, kita tidak perasan.

Cara dia bisik pula bagaimana? Dia tidak kata, “jom buat maksiat.”

Tetapi, dia akan kata, “tidur dulu atau berehat dulu walaupun dah nak masuk waktu. Sebab solat dalam keadaan mengantuk tak khusyuk.”


Kemudian kita kata, “tak boleh, kena solat ikut waktu.”

Syaitan bisik lagi, “kalau kamu solat awal dalam keadaan mengantuk, Allah tak terima solat kamu. Rehat dulu dan bertenang. Bila bangun daripada tidur, dah segar. Barulah solat.”

Nampak?

Tengok-tengok, kita tidur sampai habis waktu. Ataupun bangun-bangun, sikit sahaja lagi mahu habis waktu. Masa itu, kita kelam kabut. Lagilah tidak khusyuk.
Contoh lain, ketika mahu membeli barang.

Mula-mula kita kata mahu beli satu barang sahaja. Kemudian, ketika beli barang, syaitan pun bisik kepada kita.

“Kalau kamu tak beli sekarang, besok kena datang lagi.” Kita pun beli. Tengok-tengok kita beli dua, tapi tidak guna pun barang tersebut.


Biasa atau tidak kita alami situasi itu?

Kadang-kadang bila ada tawaran. Kita pun beli. Barang ini aku tidak perlu. Tetapi, syaitan pun bisik, “masa nilah kamu kena beli, sebab jimat. Ada tawaran! Tak tahu, bila ada tawaran lagi lepas ini.”

Maka kita pun beli.

Tengok-tengok, kita tidak pakai pun. Betul?

Contoh lain, kadang-kadang kita buka whatsapp. Tiba-tiba dengar azan. Kita pun tutup whatsapp sebab mahu solat awal waktu.

Syaitan pun bisik, “kalau kau tak jawab sekarang, nanti lupa.” Kita pun jawab. Lepas jawab, keluar lagi soalan yang kedua. Akhir sekali, kita tidak sempat Solat Sunat Qabliah.

“Nampak okey, sebab kamu kan solat fardhu. Orang lain tu, solat fardhu pun tak.”

Waktu lain, kita terlepas pula takbiratul ihram.

Rugi besar atau tidak? Rugi besar! Bila syaitan perasan kita rasa rugi, syaitan pun bisik, “okeylah tu, bukan selalu pun. Orang lain lagilah, langsung tak datang masjid. Tengok jiran sebelah, pergi je rakaat terakhir. Kamu dah pergi, kira okeylah.”

Kita pun rasa lega. Betul atau tidak?

Lepas solat pula, kita mahu zikir. Kemudian, dengar telefon bunyi terima mesej. Kita kata dalam hati, “eh jangan bukalah, lepas ni kan nak solat sunat.”
Syaitan pun bisik, “bukalah … takut ada urusan penting kan.”

Tengok-tengok bila buka, kita pun berbalas-balas mesej sehinggalah terbatal wuduk. Tidak dapat Solat Sunat Ba’diyah.

Oh cukup licik.

Inilah yang Allah kata bahawa perkara yang paling bahaya atau paling jahat, bukan perompak, bukan peragut, bukan kemiskinan.

Tetapi Allah kata, مِن شَرِّ ٱلْوَسْوَاسِ ٱلْخَنَّاسِ – dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.

Syaitan tidak akan suruh kita buat maksiat secara ‘direct.’ Tetapi dia hiaskan perkara yang lagha atau sia-sia menjadi kelihatan cantik.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

BAGAIMANA CARA KHUSYUK DI DALAM SOLAT

BAGAIMANA CARA KHUSYUK DI DALAM SOLAT?

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Bagaimana Cara Khusyuk Di Dalam Solat
Bagaimana Cara Khusyuk Di Dalam Solat

Kalau kita mahu khusyuk, kita kena faham apa maksud khusyuk. Jangan kita mahu sesuatu yang kita sendiri tidak faham. Sebab itu, sehingga sekarang kita tidak dapat khusyuk.

Apa maksud khusyuk?

Perkataan khusyuk dari segi bahasa ialah tunduk dan patuh. Tunduk kepada apa? Tunduk kepada Allah sepanjang hidup kita. Bukan tunduk ketika solat 10 minit sahaja.

Jadi maksud khusyuk ialah tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah sepanjang hidup kita.

Apabila kita sentiasa ikut perintah Allah sepanjang hidup kita (daripada pagi hingga malam), agak-agak solat kita khusyuk atau tidak? Khusyuk.

Maka, itulah maksud khusyuk.

Kalau di luar solat, 20 jam kita lagha (melakukan perbuatan sia-sia) atau lupa kepada Allah, tiba-tiba kita mahu paksa hati kita khusyuk kepada Allah dalam masa 10 minit, mungkin atau tidak? Mustahil!

Sebenarnya, maksud khusyuk sudah hilang daripada diri kita. Jadi, bagaimana cara mahu khusyuk?

Caranya ialah di luar solat, kita perlu selalu ingat kepada Allah. Baca al-Quran dan sentiasa berzikir kepada Allah. Jangan buat maksiat. Kalau buat maksiat, terus bertaubat.

Sebab itulah Nabi boleh khusyuk dan boleh solat lama, kenapa? Tengoklah kehidupan Nabi daripada pagi sehingga malam. Semuanya zikir.

Aisyah kata Nabi sentiasa ingat kepada Allah dalam semua keadaanya, walaupun ketika Nabi berhadas besar.

Keadaan Nabi di luar solat, membuatkan Nabi boleh khusyuk dan berdiri lama di dalam solat.

Kalau kita dalam solat, susah mahu ingat kepada Allah (contohnya ketika solat, ruku’ dan sujud), agak-agak ketika di luar solat, mudah atau tidak kita ingat kepada Allah?

Lagi susah.

Contoh, kita tengah memandu kereta, boleh atau tidak, ingat kepada Allah? Boleh, tapi susah.

Kadang-kadang al-Quran di bibir kita (maksudnya selalu baca), tetapi kita tidak faham, sebenarnya kita belum khusyuk.

Jadi, bukan setakat baca atau zikir sahaja. Tapi, kena ada kemahiran.

Cuba ‘check’ kehidupan kita dari pagi hingga malam. Maksudnya di luar solat. Jangan ‘check’ di dalam solat. Ketika di luar solat, banyak atau tidak kita ingat kepada Allah?

Tengok langit, kita ingat kepada Allah. Tengok tumbuhan ingat kepada Allah. Tengok muka suami ingat kepada Allah. Bila cuaca panas sahaja, ingat kuasa Allah. Bila hujan sahaja, ingat kuasa Allah dan baca doa.

Jadi keaadaan kita di luar solat menentukan solat kita khusyuk ataupun tidak.

Sebab itu Allah sebut di dalam Surah Az-Zukhruf 43:36,

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ ٱلرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُۥ شَيْطَٰنًا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٌ

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.

Maksud ayat ini ialah siapa yang tidak ikut perintah Allah, Allah akan hantar syaitan. Allah sebut atau tidak, ikut perintah Allah itu berapa lama? Tidak.

Maksudnya, lupa sahaja kepada Allah, Allah akan hantar syaitan dan menjadi kawan dia.

Okey, kalau kita lupa kepada Allah, penasihat kita yang paling rapat dan yang paling baik ialah syaitan. Agak agak masa itu, kita buat atau tidak perkara yang baik? Tidak!

Jadi bila lupa Allah sahaja, tidak mungkin kita akan buat perkara yang baik.

Ada orang kata, “ustaz! Saya okey. Tak ada gangguan pun.” Maka itulah bisikan syaitan.

Syaitan ini, dia tidak akan suruh kita buat perkara jahat secara ‘direct.’ Tetapi dia akan hiaskan perbuatan yang tidak baik kelihatan baik.

Saya tanya, “bersembang kosong – baik atau tidak?” Tidak baik. Kenapa tidak baik? Tidak ada faedah.

Setiap perkara yang tidak ada faedah adalah sia sia.

Tapi masa kita bersembang kosong, kita rasa atau tidak yang kita sedang melakukan perbuatan yang salah dan rugi? Tidak.

Itulah bisikan syaitan.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

BEZA ANTARA أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ DENGAN أعُوذُ بِالله

BEZA ANTARA أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ DENGAN أعُوذُ بِالله

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Beza Antara أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ Dengan أعُوذُ بِالله
Beza Antara أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ Dengan أعُوذُ بِالله

Bila kita biasa membaca أعُوذُ بِالله ? Ketika mahu membaca al-Quran. Okey, dalam ayat yang pertama Surah an-Naas, kita jumpa pula dengan أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ.

Apa beza di antara kedua-dua ayat ini?

Secara umumnya seperti tidak ada perbezaan. Sebab الله adalah رَبِّ ٱلنَّاسِ dan رَبِّ ٱلنَّاسِ adalah الله. Tetapi sebenarnya ada beza.

Apa bezanya?

Ayat أعُوذُ بِالله mahu beritahu bahawa dengan siapa kamu berlindung. Iaitu dengan Allah. Apa makna Allah? Perkataan الله berasal daripada perkataan إِلَٰهِ. Apa makna إِلَٰهِ? Tuhan yang di sembah.

Jadi Allah dalam ayat أعُوذُ بِالله, Allah mahu beritahu bahawa aku berlindung dengan Tuhan yang disembah.

Kalau saya buat soalan, “kepada siapa kita kena berlindung? Jawapannya Allah.” Tapi bila saya ubah soalan, “kenapa kena berlindung dengan Allah?”

Jawapannya tidak ada di dalam ayat أعُوذُ بِالله. Sebab ayat ini hanya mahu beritahu dengan siapa kita patut berlindung.

Berbeza dengan ayat أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ.

Saya tanya soalan yang sama pada ayat ini pula, “kepada siapa kita kena berlindung? Jawapannya رَبِّ ٱلنَّاسِ.

Kemudian, saya tanya pula soalan yang kedua, “kenapa kena berlindung dengan رَبِّ ٱلنَّاسِ ? Jawapannya ada di dalam ayat ini iaitu sebab Dia mencipta kamu.

Jadi, ayat أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ, Allah mahu beritahu dua perkara;

Pertama: Kepada siapa patut kita berlindung? Kepada Allah – رَبِّ ٱلنَّاسِ. Kedua: Kenapa perlu berlindung dengan Dia? Sebab Dialah yang mencipta kita.

Sebenarnya kita mahu berlindung daripada apa? Kejahatan. Kejahatan siapa? Kejahatan manusia dan jin. Ada lagi kejahatan selain manusia dan jin? Ada.

Tetapi yang paling besar ialah kejahatan manusia dan jin. Kalau betul mahu berlindung daripada kejahatan manusia dan jin, maka tempat yang patut kita berlindung kepada siapa?

Iaitu kepada yang mencipta manusia. Kalau Dia yang mencipta manusia, Dia pandai atau tidak menjaga manusia? Mestilah pandai.

Sebab itulah kalau kita berlindung dengan manusia – pertama, kita boleh syirik. Akidah kita rosak. Kedua, kita akan menjadi semakin lemah.

Sebab kita makhluk, memang sudah lemah. Bergantung pula dengan manusia, lagi lemah. Kalau kita lemah, tetapi mahu jadi kuat, kita kena bergantung pada yang kuat iaitu Allah – رَبِّ ٱلنَّاسِ.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

MENGATASI KEMALASAN DENGAN DOA YANG DIAJAR OLEH NABI

MENGATASI KEMALASAN DENGAN DOA YANG DIAJAR OLEH NABI

Oleh: Ustaz Abd Muein Abd Rahman

Mengatasi Kemalasan Dengan Doa Yang Diajar Oleh Nabi
Mengatasi Kemalasan Dengan Doa Yang Diajar Oleh Nabi

Banyak amalan sunat yang kita sudah tahu tentang kelebihannya, tetapi kita masih lagi tidak amalkan.

Saya bagi contoh, amalan membaca surah 3 Qul (Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas) sebelum tidur.

Kita sudah tahu bahawa Nabi mengajarkan kepada kita surah 3 Qul ini untuk melindungi diri kita daripada bahaya.

Surah 3 Qul ini pendek sahaja, bukannya panjang seperti Surah al-Baqarah.

Tetapi, mengapa kita masih tidak amalkan?

Antara sebab kita tidak amalkan ialah kerana kita ada penyakit malas. Malas mahu baca surah 3 Qul, malas berzikir dan malas baca al-Quran.

Banyak atau tidak perkara yang kita malas? Banyak. Boleh dikatakan, semua perkara yang baik, kita malas mahu buat.

Penyakit malas ini pula disebabkan ada perkara lain yang berada di dalam diri kita. Apa dia? Nafsu.

Sebab itulah Nabi kata, akhirat ini dipenuhi dengan perkara yang tidak disukai oleh nafsu. Manakala dunia ini dipenuhi dengan perkara yang disukai oleh nafsu.

Amalan membaca surah 3 Qul ini berkaitan dengan akhirat. Jadi, nafsu kita tidak suka. Satu perkara sahaja yang kita tidak malas, iaitu makan. Siapa yang pernah rasa, “aku malaslah nak makan.”

Ada atau tidak? Tidak ada. Kenapa tidak ada? Kerana makan bukan 3 Qul, tapi 3 pinggan. Maksudnya makan memang nafsu suka.

Jadi, bila kita berhadapan dengan perkara yang kita tidak suka, kita kena sabar dan lawan balik sikap malas itu diiringi dengan doa supaya Allah lindungi diri kita daripada penyakit malas.

Apakah doa yang Nabi ajar kepada kita supaya menjauhi daripada sifat malas?

Doa yang Nabi ajar ialah,
رَبِّ أعُوذُ بِكَ من الكَسَلِ وَسُوءِ الكِبَرِ

Memandangkan kita sudah ada penyakit malas, kita pun pilih doa yang pendek-pendek sahaja.

Cuba kita terjemah doa ini. رَبِّ – wahai tuhanku. أعُوذُ – aku berlindung. بِكَ dengan Engkau. Okey, perhatikan baik-baik. Perkataan ini ada bab akidah. Kalau tersilap, boleh syirik.

Maksud بِكَ ialah kita berlindung hanya mesti dengan Allah. Tidak boleh berlindung dengan manusia ataupun jin.

Kita mahu berlindung daripada apa ini? من الكَسَلِ – malas.

Malas adalah satu musibah yang besar. Malas beribadat, malas baca al-Quran ataupun malas solat sunat.

Jadi Nabi Muhamad salla Allah alaih wasallam sangat sayang kepada kita. Baginda buat doa untuk kita baca bukan sekali seminggu, tetapi sehari dua kali kerana penyakit malas itu datang setiap hari dan sepanjang masa.

Maka kita perlu amalkan membacanya pada waktu pagi dan petang.

Kemudian, وَسُوءِ الكِبَرِ. Apa maksud ayat ni? Tua yang nyanyuk. Kalau sekadar tua sahaja, tidak ada masalah, tetapi yang menjdi masalah ialah tua yang nyanyuk.

Kenapa? Sebab rugi masa. Umur kita bertambah, tapi amal tidak bertambah. Mahu baca al-Quran tidak boleh. Mahu solat pun tidak boleh.

Jadi, marilah kita sama-sama mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang. Tetapi, bukan sekadar baca sahaja, bacalah dengan penuh penghayatan.

Kadang-kadang, bila kita sudah biasa mengamalkan zikir pagi dan petang, kita baca sahaja tanpa tahu maksud. Akhirnya yang kita baca zikir itu sahaja. Amalan yang lain tetap malas.

#ProjekBukuTadabbur
#SurahanNaas
#GhulamalDakwah
#UstazAbdMuein

Alamat

No. 40, Jalan Tiang Seri U8/73C,
Tropika 1 Bukit Jelutong,
40150 Shah Alam, Selangor, Malaysia.

Whatsapp : 019 868 2015

Visi Ghulam

Melahirkan Du’at
Menyebarkan Islam

Live Streaming

Hakcipta Terpelihara © 2022 Pertubuhan Ghulam Al Dakwah Selangor